24/06/2013

Tips Bagaimana Menghadapi Jerebu?

Kita dikejutkan lagi dengan masalah jerebu. Banyak sekolah terpaksa ditutup, semua aktiviti luar dihentikan. Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.


Mari kita lihat apakah kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah:

• Terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk.
• Terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas.
• Mata terasa pedih dan berair.
• Hidung berair dan kerap bersin.
• Kulit badan terasa gatal-gatal.
• Terasa sakit dada.

Tips Elakkan Penyakit Ketika Jerebu

▪ Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.

▪ Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.

▪ Penutup hidung (nasal mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dalam kumpulan berisiko tinggi.

▪ Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit jangan merokok di dalam rumah.

▪ Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.

▪ Kurangkan aktiviti sukan di luar rumah

▪ Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.

▪ Sekiranya kenderaan anda berhawa dingin, sila gunakannya.

▪ Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak.

▪ Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat ( iaitu IPU yang melebihi 100 )

▪ Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka.

Rakan-rakan semua, awas fenomena jerebu adalah amaran kerana kita yang tidak menghargai alam sekitar. Jauhi aktiviti yang menyumbang kepada kerosakan persekitaran dengan segera!