26/11/2012

Wanita Yang Hamil Bersendirian Tanpa Suami

Setiap ibu mengandung, lebih-lebih lagi bagi wanita yang pertama kalinya mengandung akan mengalami beberapa perubahan yang ketara serta banyak perkara yang perlu dilakukan untuk persediaan diri dan juga bakal anak yang akan dilahirkan nanti. Bakal ibu akan mengalami alahan, "morning sickness", perubahan hormon dan fizikal yang ketara. Malah memerlukan seseorang itu berjumpa dengan doktor lebih kerap. Bagi wanita yang mengandung pertama kali mungkin akan merasakan satu tekanan. Perkara ini boleh menjadi suatu perkara yang paling dinanti-nantikan oleh pasangan suami isteri tapi masih ramai di luar sana yang mengandung tanpa suami di sisi atau pasangannya sewaktu susah senang semasa wanita itu mengandung dan waktu kelahiran


tips untuk bakal ibu yang mengandungkan anak pertama seorang diri tanpa suami.
Image: Google

Kali ini Mummy ingin berkongsi tentang tips jika anda sedang mengandung berseorangan tanpa suami atau pasangan anda di sisi. Perkongsian ini lebih kepada pengalaman sendiri dan juga sumber dari bahan bacaan yang lain. Setiap tahun, tanpa disedari oleh kita semua, ramai wanita yang melalui pengalaman kahamilan seorang diri. Ini mungkin disebabkan beberapa faktor iaitu kedudukan antara pasangan yang terpaksa bekerja mencari rezeki dan terpaksa berjauhan dari rumah. Manakala, sesetengah wanita yang bernasib malang terpaksa melalui kehamilan selama 9 bulan bersendirian oleh disebabkan kematian atau penceraian yang berlaku atau sebab lain iaitu bakal bapa yang sengaja tidak mahu bertanggungjawab. Perkara ini jarang kita dengari atau perkatakan. Kerana perkara yang dilalui oleh wanita itu amat berat sekali untuk melalui kehamilan seorang diri, melahirkan bayi dan penyediaan di hari akan datang tanpa suami atau pasangan disisi.

Jika anda salah seorang daripada wanita-wanita ini, anda mungkin merasakan diri ketidaktentuan dan membuatkan anda banyak persoalan pada diri anda. Sebagai contoh, siapa yang akan membantu saya? Siapakah yang akan membawa saya ke hospital apabila saya hendak melahirkan anak? Siapakah yang akan berada disebelah saya untuk melihat saat kelahiran anak nanti? Siapa yang akan membantu saya menjaga bayi yang baru lahir apabila saya keletihan? Dan ia akan menjadi berpanjangan.

Wanita yang mengalaminya tidak perlu takut dan berasa bersendirian. Dengan sedikit perancangan anda boleh menangani dan malah boleh bahagia seperti orang lain:

1. Cari dan bentuk sistem sokongan yang baru. Anda mungkin tidak mempunyai pilihan yang lain tetapi anda masih boleh mendapatkan bantuan dari mereka yang masih mengambil berat tentang anda. Berbincang dengan keluarga dan kawan-kawan untuk bantuan fizikal, keperluan emosi atau mungkin kewangan. Jangan malu untuk meminta bantuan.

2. Berbincang dengan orang lain yang mengandung kerana mereka akan lebih memahami anda. Anda boleh berkongsi kebimbangan anda tentang diri dan kandungan serta cuba dapatkan nasihat daripada mereka.

3. Dapatkan rawatan perubatan yang terbaik untuk diri sendiri dan bayi dalam kandungan anda. Ini untuk memastikan kesihatan anda dan kandungan terjamin . Dengan ini anda boleh menangani masalah kesihatan dengan lebih baik serta risiko kandungan yang akan datang. Rancang waktu bakal kelahiran anak anda. Anda boleh berbincang dengan doktor untuk lebih bersedia lagi jika sudah sampai waktunya. Mungkin anda boleh meminta doktor untuk benarkan anda berada di Hospital paling minima 2 hari sebelum waktu anda melahirkan anak. Dengan ini, anda lebih bersedia.

4. Semua wanita yang mengalami situasi begini akan mengalami tekanan perasaan. Anda mesti ingat kerana kehidupan harus diteruskan dan tidak perlu menyendiri. Ambil kelas bersalin dan bawa kawan baik atau keluarga untuk memberi sokongan. Di dalam kelas ini, anda boleh belajar semua info yang diperlukan tentang wanita hamil dan bayi yang akan dilahirkan nanti.

5. Hubungi perkhimatan sosial atau mencari rumah untuk ibu yang tidak berkahwin. Ini adalah bagi mereka yang bersendirian dan tidak mampu. Beberapa agensi membolehkan anda hidup dengan wanita hamil yang lain.

6. Terus untuk maju kehadapan walaupun anda sedang mengandung dengan matlamat untuk berjaya di dalam kerjaya dan pendidikan. Kerana, anda memerlukan wang yang secukupnya untuk menyara diri dan bakal anak yang dilahirkan nanti. Seperti yang semua orang sedia maklum, banyak kos yang diperlukan terutama sekali selepas kelahiran anak itu nanti. Jadi dengan menenangkan diri, terus berusaha bekerja dan wang tersebut boleh membantu perbelanjaan anda nanti

7. Cuba tenangkan diri dan bayangkan di masa akan datang untuk bayi yang bakal dilahirkan. Beri yang terbaik untuk anak anda dengan sepenuh kasih sayang. Jadi lebih positif dan tidak perlu mendengar kata-kata orang lain yang dapat menjatuhkan semangat dan kekuatan anda. Akhir sekali, perlu diingatkan kerana kesan yang anda alami semasa mengandung dapat menjejaskan bayi di dalam kandungan. Jadi, mental dan fizikal anda perlu berada di tahap yang baik bukan disebaliknya.

Diharap, perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada wanita diluar sana yang sedang hamil yang ditinggalkan suami samada cerai atau kematian atau lebih teruk lagi bagi suami/bakal bapa yang tidak mahu bertanggungjawab. Ingatlah anak yang anda kandungkan itu adalah satu anugerah yang tidak ternilai yang memerlukan kasih sayang dari anda. Setiap yang terjadi mungkin ada hikmah disebaliknya. Anak itu diibaratkan satu pelaburan untuk jangka masa panjang. Cuba jadi positif demi kehidupan anda dan anak yang bakal dilahirkan. Perbanyakkan berdoa dan tenangkan diri. Semoga semuanya berjalan dengan lancar.

Xoxo
Mummy Akmar