04/09/2012

Tips Penjagaan Gigi Kanak-Kanak

Kesihatan gigi adalah sangat penting bagi semua orang. Cara yang terbaik untuk menjaga gigi adalah mula dari kecil lagi. Jadi kita perlu tahu menjaga dengan cara yang terbaik untuk anak-anak kita. Sikap penjagaan gigi ini haruslah dipupuk dari usia awal lagi. Berikut adalah beberapa tips merawat gigi anak kecil:


1) Periksa gigi anak anda seawal yang mungkin

2) Selalulah mengajar tabiat membersihkan gigi dan menjaga kebersihan mulut paling kurang 2 kali sehari. Sebagai ibu bapa, adalah contoh terbaik untuk menggalakkan anak-anak anda menjaga kebersihan mulut dan gigi. Lakukan aktiviti ini sebagai aktiviti yang menyeronokkan antara anda berdua.

3) Sediakan diet pemakanan yang sihat dan seimbang untuk mereka seperti keju dan susu untuk menguatkan gigi dan tulang.

4) Elakkan memakan makanan yang mengandungi banyak gula dan pemanis. Pastikan anak anda memberus gigi selepas memakan makanan yang tinggi kandungan gula kerana hasil asid dari makanan begini dapat menghakis gigi.

5) Jangan biarkan anak anda tidur dengan botol jus atau minuman yang mengandungi gula di mulutnya terutama sekali pada waktu malam. Ini akan menyebabkan kerosakan gigi berlaku kerana akar gigi terdedah kepada cecair yang mengandungi gula dalam jangka masa yang panjang. Ini juga akan membenarkan bacteria di dalam mulut berkembang dan menyerang enamel gigi dan menyebabkan kaviti. Jika anak anda suka tidur dengan botol yang diisi dengan air yang manis, cuba perlahan-lahan tukarkan dengan air yang dimasak.

Semoga tips ini dapat memberi kesan kepada kita semua betapa pentingnya gigi untuk semua orang. Mummy berharap sebagai ibu, anda prihatin terhadap kebersihan mulut dan penjagaan gigi anak anda semua. Gigi haruslah dijaga dari peringkat awal kerana gigi adalah mencerminkan diri kita. Setiap senyuman yang terukir bersama gigi yang cantik akan memberi kesan positif kepada semua orang. Selamat menjaga gigi anda!

Xoxo,
Mummy Akmar