07/10/2012

Buat Blog Pengalaman Bercerai

Assalam dan salam sayang buat reader dan follower blog Mummy. InsyaAllah, dari masa ke semasa akan Mummy kongsikan beberapa isu, topik dan pengalaman bercerai yang dilalui oleh diri Mummy sendiri. Kenapa? Mesti ada yang akan menyuarakan pendapat negatif mereka seperti "tak tahu malu ke?" Sesiapa sahaja boleh bercakap tentang apa sahaja kerana mulut kalian memang Mummy tidak boleh tutup.


Kenapa Mummy Ingin Berkongsi Cerita Kehidupan Sebagai Ibu Tunggal?

Kalau di Google dan Search pencarian untuk "Pengalaman Bercerai" di muka pertama Google, rata-rata hanya dikongsikan adalah isu "Punca Penceraian Di Malaysia" atau "Kesan Penceraian Pada Anak" yang di bahaskan dari maklumat yang mereka dapat oleh individu tertentu. Mungkin anda boleh lihat satu link forum tentang "Share Pengalaman Bercerai". Yang lain tidak relevan lagi dan lari dari isu dan topik iaitu "Bercerai Susu"

Jika kita lihat, statistik wanita yang diceraikan dengan bermacam cara yang kejam dan zalim kini semakin tinggi. Ada yang mengalami pelbagai masalah, kesusahan dan buntu tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dan Mummy percaya ramai ibu-ibu atau wanita diluar sana yang perlukan pendedahan, dorongan atau informasi jika perkara ini terjadi kepada mereka. Masih ramai lagi yang masih berselindung, tidak maju kehadapan, hidup dalam kesedihan, malu, berduka dan bermacam sifat negatif yang taknak Mummy ungkaikan disini. Oleh sebab itu, tidak ada blog lagi yang menceritakan pengalaman bercerai mereka secara terang-terangan selain blog Mummy. Beberapa sumber blog yang lain dan pernah Mummy baca adalah blog Dr. Hasanah iaitu seorang Doktor Falsafah yang bercerai kematian dengan suaminya. Beliau banyak menerangkan sedikit sebanyak pengalaman beliau hadapi sebagai ibu tunggal dan juga pengisian blog itu lebih kepada keagamaan, erti dan isu penceraian di dalam Islam.

Jika di ambil sebagai contoh blogger Alia Haryani. Blog ibu tunggal yang sedang berperang dengan sakit aneh yang dialaminya. Hanya ditemani oleh anak lelakinya yang kecil. Kesian, luluh hati dan terharu Mummy tengok kisah dia. Dimana suaminya? Mana ehsan, simpati, kasih sayang dahulunya?. Apa tujuannya blogger ini menceritakan perihal sedihnya buat tatapan umum? Meraih simpati atau pertolongan? Ya, ini mungkin dalam membantunya mendapat pertolongan kewangan. Tetapi bagi Mummy, terlalu paham apa isi hatinya. Tiada tempat lain yang dapat dia luahkan atau mengadu selain Allah, dijadikannya blog sebagai tempat dia luah, coretkan isi hatinya untuk mengurangkan beban dan sakitnya. Alhamdullilah rakyat Malaysia sangat prihatin dan ramai blogger yang mewar-warkan kisah sedih blogger ini dan Mummy sendiri telah menderma kepada akaun banknya. Termasuk blogger lain seperti Jejai. Mummy juga telah menderma sebaik sahaja tahu tentang sakit yang beliau alami. Dua blogger yang Mummy tidak pernah kenal. Bukan untuk mengungkit atau belagak tetapi, Mummy dapat rasakan dunia blogging ni sangat besar dan luas. Bermacam boleh diperolehi dan juga dapat Mummy peluang untuk membantu yang lain yang memerlukan dan beramal.


Bersambung kepada cerita tentang perkongsian hidup di dalam blog Mummy ini pula, lebih kepada tatapan untuk anak yang wujud di dalam rahim tanpa bapa/suami disisi, bermacam spekulasi, dugaan yang perlu dilalui dan suatu hari nanti, dia boleh baca penat lelah Mummy untuknya. Selain itu juga blog ini dijadikan untuk tatapan diri sendiri sebagai catatan harian, perasaan, pendapat dari Mummy sendiri bukan sahaja cerita pengalaman bercerai, tetapi pengalaman turun naik mahkamah syariah, pengalaman membesarkan anak selama 9 bulan seorang diri dan sehingga kini. Harapan Mummy, ia sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada wanita dan ibu tunggal di luar sana. Tidak kisahlah jika anda kehilangan atau kematian suami atau menghadapi masalah yang lain. Mummy cuba untuk menukar persepsi orang ramai tentang janda dan ibu tunggal. Kerana mereka ini adalah golongan yang perlu diberi perhatian dan betapa besarnya pahala jika menolong golongan ini. InsyaAllah. Di masa akan datang, lebih banyak info dan cerita yang akan dikongsikan untuk panduan semua wanita tentang penceraian.


Inspirasi Untuk Wanita?

Mummy amat berharap, perkongsian tentang kehidupan Mummy menjadi sumber inspirasi wanita lain yang sedang mempunyai masalah keluarga, peribadi dan sedang atau telah bercerai. Mungkin ramai boleh bercakap, malunya mengaku jadi ibu tunggal! Alhamdullilah. Mummy bersyukur yang Mummy tidak pernah rasa malu untuk mengaku "Saya seorang ibu tunggal/ I am a single mother". Tidak kira di dalam blog ini atau di dunia yang nyata.


Kenapa kita mesti malu mengaku dengan status ini?. Ini hanyalah satu status kerana ibu tunggal atau janda ini sama seperti makhluk lain di sisi Allah dan melalui kehidupan yang sama seperti orang lain. Jangan pandang hina pada ibu tunggal dan janda. Mereka-mereka ini yang sering membuka mulut dan berkata apa sahaja dan jika diri mereka sendiri ditimpa dan dapat merasai bebanan ibu tunggal lalui mungkin mereka boleh tutup mulut dan barulah mereka tahu penat lelah menjadi golongan ini. Alhamdullilah, disebalik pengakuan ikhlas ini, terlalu banyak dorongan dan bantuan yang tidak sengaja atau sengaja disalurkan kepada Mummy. Kerana didunia ini masih ada golongan majoriti yang baik hati dan saling membantu sesama insan lain masih ramai di luar sana untuk dibandingkan golongan minoriti yang suka memberi komen negatif untuk menjatuhkan lagi seseorang individu. Syukur kepada Allah.

Penekanan terhadap penulisan blog ini selain menceritakan tentang minat dan juga isu parenting, tips dan informasi yang lain adalah bagi mereka yang ingin mencari maklumat sekiranya mereka juga mengalami senasib yang sama. Cerita yang dikongsikan ini adalah kisah benar yang dilalui oleh diri Mummy sendiri. Perkara ini tidak menjadi satu yang dibanggakan, hanya sekadar untuk meringankan berat bebanan bahu yang dipikul yang di coretkan dan diluahkan di atas blog ini. Perkongsian ini juga adalah untuk memberi inspirasi untuk wanita diluar sana kerana bercerai bukanlah beerti dunia akan berakhir untuk kita. Ingatlah semua ini sudah tertulis dan kita hanya perlu melaluinya dengan tabah.

Mummy bersyukur kerana sedang bersembang dengan kawan, mereka memberi feedback dari beberapa kawan sekeliling dan juga pembaca blog Mummy. Mereka sendiri memberitahu kepada Mummy.....

"walaupun I rasa sukar sangat nak lalui tiap-tiap hari dengan anak sebab suami jauh di luar negara, I akan ingat kisah u lalui dan u tabah melaluinya. U jadi inspirasi I..buat I lebih kuat di hati. Memang tak rugi I kenal u Akmar. (Sambil buat icon =( di BBM). I ingat lagi time u pregnant 2 bulan u call I dan dari situ kita menjadi lebih rapat. Memang tak salah keputusan untuk percaya dan berbuat baik pada u"

"akak kalau terlalu banyak masalah, satu je akak akan fikir balik, macamana Akmar lalui dan ini membuatkan akak kuat dan tabah kerana ada orang lain yang mampu lalui dengan tenang macam Akmar. Berat betul apa yang Akmar lalui tetapi Akmar kuat dan boleh melaluinya Setiap kali masalah macam ni, akak teringat dekat Akmar" (luahan melalui panggilan telefon)

Inilah feedback yang Mummy dapat dari kawan yang Mummy kenali. Masing-masing mempunyai masalah dan dugaan yang perlu dilalui dan mereka menjadikan Mummy sebagai alasan untuk mereka terus tabah dan lebih kuat untuk lalui dugaan masing-masing.


Matlamat Mummy Sebagai Blogger Baru?

Walaupun pada mulanya blog ini seperti hidup segan mati tak mahu, macam seorang wanita yang diceraikan dirundum kesedihan. Kini, blog ini diberi nafas baru kerana dibantu oleh Pakar SEO dan blogger yang lain. Blog ini cuba mendapat tempat di pencarian Google. Sedikit demi sedikit peningkatan yang diberikan pada blog ini seperti dapat dilihat dari pencapaian traffiknya yang meningkat kalau nak dibandingkan pada waktu awal dulu. Blog ini juga adalah menjadi tempat sumber wang pendapatan pasif bagi Mummy. Alhamdullilah, rezeki Allah dimana-mana. Sedikit sedikit lama-lama jadi bukit dan membuatkan Mummy lebih tekun dan rajin membuat penulisan supaya blog ini berjalan, berdiri dan duduk setara dengan blog yang lain.


Peningkatan tentang kehidupan dan juga blog ini akan Mummy usahakan sedikit demi sedikit semata-mata demi El Qashrin Qaisara. Jika dengan cara ini dapat Mummy membantu wanita diluar sana atau sesiapa sahaja dari perkongsian dalam blog ini, Mummy sangat gembira kerana ia sedikit sebanyak dapat menguatkan hati dan perasaan dalam mengharung dunia yang penuh dugaan dan cabaran. InsyaAllah. Doakan Mummy. Amin...

Xoxo,
Mummy Akmar